Pameran Replika Rumah Tradisional Kita

Pengenalan
 

Malaysia sememangnya terkenal dengan negara yang terdiri dari pelbagai kaum yang hidup bersatu-padu di bawah satu bumbung. Kepelbagaian kaum ini telah membawa pelbagai pengaruh budaya dalam kehidupan rakyatnya sendiri. Pengaruh budaya ini boleh dilihat dengan wujudnya pelbagai jenis pilihan makanan dari pelbagai kaum, pakaian dan tidak terkecuali dari segi binaan bangunan. Rumah-rumah tradisional bukan sahaja mempunyai keunikan tersendiri malah melambangkan kehalusan seni bina di setiap negeri yang ada di Malaysia.     

Rumah tradisional adalah sebahagian warisan seni bina Malaysia yang sangat bernilai. Ianya telah direka bentuk dan dibina oleh orang kebanyakan yang menampakkan betapa mahir dan kreatifnya mereka dalam bidang seni bina. Ia memaparkan kebijaksanaan dalam penggunaan dan perluasan ruang mengikut keperluan semasa, mengadaptasi cuaca dan penggunaan bahan binaan.

Setiap rumah tradisional mempunyai ciri-cirinya yang tersendiri. Walaupun bentuk rumah kampung tidak sama seperti reka bentuk rumah moden, namun ciri-ciri keselesaan tetap dititikberatkan sejak dahulu lagi. Rumah tradisional Melayu misalnya, mengambil kira faktor budaya, iklim setempat, teduhan, pengudaraan, pencahayaan, dan ciri-ciri asas yang lain. Bentuk rumahnya pula berbeza dan pelbagai mengikut setiap negeri, wilayah dan juga sub-etnik. Contohnya, rumah Melaka tidak sama dengan rumah Negeri Sembilan walaupun kedua-dua negeri ini berjiran. Zaman sekarang semakin banyak rumah kampung telah mengalami arus pemodenan. Konsep dan reka bentuk rumah kampung moden juga semakin berunsur kontemporari dek mengikut peredaran zaman.

 

Sejarah Awal Rumah Tradisional

Rumah tradisional merupakan salah satu komponen warisan budaya mempunyai sistem tambahan yang membolehkan rumah tersebut bertahan lebih lama. Rumah-rumah tradisional telah diwarisi semenjak beratus tahun yang lalu. Gaya dan bentuk rumah tradisional dipengaruhi oleh cara hidup, ekonomi, alam persekitaran dan iklim. Iklim adalah perkara yang penting yang mempengaruhi bentuk seni bina rumah tradisional di Malaysia. Negara kita mempunyai hawa yang panas dan hujan yang selalu turun dengan lebat. Rumah-rumah dan bangunan dibina dengan berpanggung atau bertiang. Rumah Tradisional dibina demikian kerana memberi laluan atau peredaran udara. Rumah tradisional yang bertiang dapat mengelak daripada ditenggelami air apabila berlaku banjir. Bentuk bumbung yang curam yang dipanggil “lipat kajang” dapat memudahkan curahan air hujan. Lantai dan dinding rumah yang diperbuat daripada anyaman peluhan adalah untuk memudahkan pengedaran udara dan untuk mengurangkam rasa bahang panas.

Negeri Sembilan mempamerkan keseluruhan reka bentuk bumbung panjang yang bersifat Minangkabau. Serambi rumah Negeri Sembilan mempunyai bentuk yang memanjang dan terdapat bahagian hujung dan pangkal yang ditentukan mengikut laluan arus sungai. Rumah ibu menjadi bahagian kedua dalam seni bina rumah Negeri Sembilan merupakan kawasan yang menempatkan kamar tidur bagi tuan rumah dan ahli keluarga. Bahagian rumah disambung pula dengan ruang yang dipanggil kolek anak. Kolek anak merupakan ruang khas untuk menempatkan ibu yang baru bersalin. Antara jenis dinding sering ditemui pada rumah tradisional di Negeri Sembilan ialah dinding sisik tenggiling, papan tengah berlidah, papan serong berlidah, apit-apit, pelupuh, anyam beremban dan kulit kepong.

 

 

 

Terdapat enam jenis rumah atau dipanggil lamin oleh suku kaum Dusun Lotud. Lamin terdiri daripada lamin kopio, sulap-sulap (pondok), tinupak, pinopintod, kinubu dan tanaru. Struktur rumah suku kaum Dusun Lotud terdiri daripada 6 bahagian, iaitu soliu, soriba, rapuhan, kawas, pantaran, dan tilud. Soliu atau ruang tamu berfungsi sebagai tempat perbincangan, perjumpaan dan upacara adat. Soriba atau ruang di bahagian bawah juga digunakan sebagai tempat tidur untuk tetamu. Rapuhan berfungsi sebagai dapur dan terbahagi kepada salahan dan pahah untuk mengeringkan daging. Kawas yang dipisahkan oleh dinding ialah tempat tidur anak perempuan yang belum berkahwin. Pantaran merupakan ruang laluan dan ruang untuk menyimpan bekas simpanan air untuk membasuh kaki dan tangan sebelum masuk kedalam rumah. Tilud adalah ruang untuk menyimpan padi dan produk pertanian.

 

 

Orang Ulu membina rumah panjang mereka untuk bertahan lama dan kerana itulah bahan binaannya sememangnya daripada kayu-kayan yang bermutu tinggi. Binaan atapnya kebiasaannya menggunakan kulit kayu belian yang tahan lama serta tidak dimakan oleh anai-anai. Untuk tiangnya sahaja lazimnya menggunakan kayu berlian, dan tiang ini juga dikatakan akan diukir terlebih dahulu mengikut motif-motif yang mempunyai makna yang tersendiri tertakluk kepada kepercayaan mereka. Tiang kaki untuk rumah panjang Orang Ulu boleh mencapai 30 kaki tingginya. Dikatakan ianya dibuat sebegitu tinggi bagi tujuan keselamatan iaitu bagi mengelak serangan binatang buas mahupun serangan musuh. Kebiasaannya di dalam satu rumah panjang Kaum Orang Ulu juga turut dihuni oleh beberapa keluarga dengan setiap rumah panjang mempunyai pemimpinnya yang tersendiri.
 
 
 
 

Struktur rumah-rumah tradisional Melaka pada asasnya diperbuat daripada kayu dan papan dan beratapkan nipah. Secara umumnya dapat dikenalpasti dengan ketara melalui keunikan tangga batunya yang bertingkat dan dihiasi dengan jubin bercorak tumbuhan, bungaan, burung atau geometri. Rumah ini terbahagi kepada beberapa bahagian iaitu serambi, rumah ibu, selang, rumah dapur, pelantar, loteng dan pangkin.
 
 
 
 

Halaman 1 dari 3

Tinjauan
{{ ngFields[0].errorMsg }}
{{ ngFields[2].errorMsg }}

Pautan Kerjasama
 
Muzium Petaling Jaya
Jalan 10/7, Seksyen 10,
Taman Jaya, 46000 Petaling Jaya,
Selangor Darul Ehsan
Tel: +603 - 7954 8122
Fax: +603 - 7954 8133
Email: unitmuzium@mbpj.gov.my