Pameran Replika Rumah Tradisional Kita

Seni bina warisan Rumah Kutai ini hanya di negeri Perak. Maksud Rumah Kutai atau juga disebut Kotai adalah lama atau tua dan masih didiami oleh penduduk tempatan sejak lebih 200 tahun dahulu. Ciri khas dapat dilihat pada ragam hias lebah bergantung dan penggunaan daun tepas berkelarai pada muka tebar layarnya. Rumah Kutai terdiri daripada dua jenis, iaitu Rumah Kutai Tiang 12 dan Rumah Kutai Tiang 16. Reka bentuk sesebuah Ruah Kutai banyak dipengaruhi oleh beberapa faktor, di mana ruang lingkupnya juga menentukan komponen bangunan dan susunan ruang-ruang yang terdapat di dalam sesebuah rumah. Antara komponen ruang yang lazim terdapat pada Rumah Kutai ialah seperti ruang serambi, rumah ibu, selang dan rumah dapur.

 

 

Struktur rumah panjang Iban sangat menarik. Setiap ruang bilik yang bercantum yang membentuk rumah itu sebenarnya mempunyai pecahan bahagian mengikut jumlah keluarga yang ada di rumah panjang itu. Rumah Panjang atau dalam bahasa iban, rumah panjai ini pada asalnya mempunyai ciri-ciri asli yang merangkumi bahan pembinaannya. Cukup istimewa, bahan binaannya terdiri daripada tiang jenis kayu dan tidak mudah reput seperti kayu terbelian yang begitu mudah didapati di Kepulauan Borneo. Manakala bumbungnya pula menggunakan daun rumbia seperti Biru, Pantu, Mulong dan jenis daun tebal. Struktur dinding dan lantainya pula diperbuat daripada kulit kayu atau buluh. Antara ruang utama yang terdapat di rumah panjang adalah bilek (bilik), bilek besai (ruang tamu), sadau (tingkat rumah atau peran), tanju (serambi), ruai (ruang terbuka) dan tempuan (pintu masuk utama).
 
 

Rumah panjang ini terbahagi kepada tiga bahagian iaitu bilik utama, awah dan tanju. Di dalam bilik ini, suku kaum Bidayuh lazimnya meletakkan barang peribadi milik keluarga dan keturunan mereka termasuk gong, tempayan serta tembikar. Ruang ini juga berfungsi sebagai tempat tidur. Awah pula adalah bahagian pelantar di luar rumah panjang dan lazimnya bertutup dan beratap. Di ruang awah suku kaum Bidayuh menjalankan aktiviti harian mereka seperti menganyam, berbual, membuat peralatan dan bertani. Malah ruang awah juga digunakan untuk sebarang upacara keagamaan seperti perkahwinan, pantang larang dan pesta tertentu termasuk pesta gawai. Tanju pula ruang atau bahagian terbuka dan lazimnya tidak bertutup mahu pun beratap. Ruang itu digunakan untuk menjemur hasil tuaian seperti lada, padi dan jagung.
 
 
 

Negeri Terengganu terdapat beberapa bentuk rumah tradisional Melayu dan salah satunya dipanggil Rumah Limas Bungkus. Struktur rumah ini dikenali berdasarkan bumbung rumahnya yang terdiri dari pada sebuah perabung lurus dan bersambung pula dengan 4 buah perabung yang turun ke cucuran atap yang dihiasi dengan ukiran-ukiran kerawang kayu. Rumah jenis ini mempunyai beberapa bentuk daripada bentuk panjang dan bersegi empat tepat. Ruangnya pula terdiri daripada ruang anjung, beranda, rumah tengah dan dapur. Rumah Terengganu dibina daripada kayu cengal, meranti dan kapur. Manakala atapnya daripada atap tanah dan atap genting senggora.
 
 
 
 
 

Bentuk rumah Melayu tradisi yang banyak ditemui di negeri Johor adalah campuran warisan bentuk rumah tradisi Jawa, Bugis, Banjar, Palembang dan keturunan lain daripada rumpun bangsa Melayu di Kepulauan Melayu. Bentuk awal rumah limas ini dikenali sebagai limas perabung lima, iaitu bumbungnya memakai lima buah perabung, terdiri satu perabung terus mendatar bersambung dengan empat perabung menurun ke cucur atap. Binaan bumbung berbentuk piramid ini dipanggil limas. Rumah limas Johor padadasarnya mempunyai lima ruang iaitu anjung, serambi, ruang tengah, dapur rumah dan pelantar. 

 

 

Tinjauan
{{ ngFields[0].errorMsg }}
{{ ngFields[2].errorMsg }}

Pautan Kerjasama
 
Muzium Petaling Jaya
Jalan 10/7, Seksyen 10,
Taman Jaya, 46000 Petaling Jaya,
Selangor Darul Ehsan
Tel: +603 - 7954 8122
Fax: +603 - 7954 8133
Email: unitmuzium@mbpj.gov.my