Jika dahulu Petaling Jaya sekadar kawasan ladang getah dan lombong bijih timah, kini Petaling Jaya berubah wajah menjadi sebuah bandar yang pesat membangun. Akibat dari masalah kesesakan dan setinggan di pinggir Kuala Lumpur sekitar awal 1950-an kerajaan negeri Selangor pada masa itu telah mengenal pasti sebuah kawasan ladang getah seluas 1,200 ekar yang strategik di Jalan Kelang Lama bagi mewujudkan sebuah penempatan baru berhampiran Bandar Kuala Lumpur.
Dengan kewujudan penempatan baru ini maka lahirlah Petaling Jaya. Nama tersebut telah diasaskan oleh Sir Gerald Templer, Pesuruhjaya Tinggi British pada waktu itu bersempena nama pokok Petaling yang dipercayai hidup subur di kawasan sekitar. Oleh itu, penubuhan kawasan Petaling Jaya ini telah menjadikannya sebuah Bandar satelit yang pertama di Malaysia.

