Kunjungi Muzium Petaling Jaya

Galeri

Muzium Petaling Jaya berkonsepkan ‘Modern Museum’ di mana ianya memaparkan tema sejarah dan pembangunan Petaling Jaya. Muzium ini juga berperanan sebagai pusat reposotori yang menyimpan dan mempamerkan bahan-bahan yang berkaitan dengan sejarah, pentadbiran serta perkembangan dan pembangunan Petaling Jaya dari dahulu hingga kini. Terbahagi kepada 5 galeri utama dan sebuah galeri sementara bagi pameran khas (pameran berkala).

  • B. Pentadbiran Awal
  • C. Pameran Khas
  • D. Tokoh Pembangunan
  • E. Kaum di Petaling Jaya
  • F. Perkembangan dan Pembangunan

Galeri B - Pentadbiran Awal Petaling Jaya ( Dahulu hingga Kini )

Era pentadbiran Petaling Jaya memperlihatkan ramai tokoh-tokoh yang banyak menyumbang jasa kepada pembangunan Petaling Jaya. Bermula dengan Petaling Jaya Authority pada tahun 1954 Petaling Jaya terus cemerlang sehinggalah diistiharkan sebagai sebuah bandaraya pada 20 Jun 2006.

Selain itu galeri ini juga memaparkan kejayaan dan kecemerlangan majlis dengan koleksi cenderamata serta anugerah dan pencapaian yang diterima. Terdapat juga diorama Bahagian Penguatkuasa dan keselamatan, replika kunci , Replika Black Widow sempena kejaaan MPPJ FC.

Galeri C - Pameran Khas (Pameran Berkala)

Ruang pameran khas atau lebih dikenali pameran thematik pula diwujudkan bagi mengadakan pameran bertema secara berkala iaitu setiap 3 bulan sekali. Ruang pameran ini mempamerkan koleksi- koleksi terpilih mengikut tema, isu, kategori serta jenis koleksi Muzium Petaling Jaya. Setiap tahun Muzium Petaling Jaya akan menyediakan sebanyak 4 jenis pameran sementara ini untuk dipamerkan pada tontonan umum sebagai tambahan kepada pameran sedia ada.

Galeri D - Tokoh Pembangunan Petaling Jaya

Galeri Hall of Fame ditubuhkan adalah untuk memberi penghargaan dan juga mengenang jasa-jasa tokoh yang telah banyak mencorak pembangunan di Petaling Jaya sehingga lahirnya sebuah bandar baru yang terancang. Galeri Tokoh ini juga akan memaparkan kejayaan demi kejayaan yang dicapai sepanjang tempoh perkhidmatan tokoh-tokoh tersebut. Selain itu, turut dipamerkan koleksi-koleksi yang dimiliki tokoh yang mana ianya mempunyai sentiment sejarah sepanjang pemerintahan tokoh-tokoh tersebut.

Galeri E - Kaum di Petaling Jaya

Galeri Kaum di Petaling Jaya memaparkan sejarah kaum-kaum utama di Petaling Jaya, perkembangan ekonomi serta Identiti utama bagi setiap kaum. Antaranya kaum Melayu (Kebaya Selangor), Kaum India (Industri Getah), Kaum Cina (Perlombongan Bijih Timah) dan Kaum Orang Asli Temuan (Perubahan Penempatan Orang Asli Dulu & Kini).

Galeri F - Perkembangan dan Pembangunan Petaling Jaya

Pembangunan Petaling Jaya bermula di Petaling Jaya Old Town sebelum berkembang menjadi sebuah bandar yang pesat membangun dan juga sebagai pusat pentadbiran dan perdagangan tertenting di Negeri Selangor. Peredaran masa turut menyaksikan Petaling Jaya berubah wajah dari sebuah bandar kediaman sehingga kini lahir sebagai sebuah entiti bandaraya yang tersendiri. Petaling Jaya juga muncul cemerlang sebagai pusat pelaburan, perindustrian antarabangsa, pusat pendidikan serta destinasi pelancongan. Dengan keluasan 97.2 km persegi , Petaling Jaya kini terus cemerlang dengan perlaksanaan Agenda Tempatan 21 ( Pembangunan Mampan ).